Monday 4 July 2011

DIRI SAYA

Keluarga Saya
                Saya bernama Faiddatul Ajmal Binti Mohamad . Saya berumur 21tahun dan telah dilahirkan pada 24 Januari 1990 di Hospital Besar Ipoh . Sejak dilahirkan , saya menetap di Ipoh , Perak dan alamat rumah saya ialah No. 38 Persiaran 4 , Taman Tawas Permai , 30010 Ipoh . Saya gemar melayari internet dan menonton televisyen sekiranya ada waktu lapang kerana kebanyakkan masa saya dihabiskan untuk belajar di sekolah dan menyiapkan tugasan sekolah sewaktu berada di rumah . Selain itu , saya juga suka memasak dan mengemas rumah  jika ada waktu kelapangan selain bertujuan untuk membantu ibu .Walaupun saya masih belum mempunyai gambaran yang jelas mengenai cita – cita dan bidang pekerjaan yang akan diceburi , namun saya bercadang untuk menceburi bidang yang berkaitan dengan sains seperti bidang Teknologi Makmal Perubatan dan sebagainya .  
              Saya dibesarkan di dalam keluarga yang agak besar . Saya memiliki lima orang adik beradik iaitu seramai tiga orang lelaki dan dua orang perempuan . Kakak saya bernama Juliana Binti Mohamad . Beliau berumur 27 tahun dan masih belum berumah tangga . Beliau menyambung pelajaran di peringkat diploma dalam jurusan Pengajian Media Massa di Universiti Multimedia Malaysia dan telahpun menamatkan pelajarannya . Beliau kini bekerja dalam bidang pengurusan.   Abang saya yang kedua bernama Syafiq Izaham Bin Mohamad . Beliau berumur 26 tahun dan telahpun berumah tangga . Beliau menyambung pelajarannya di peringkat sijil dalam jurusan CADD Mekanikal di Institut Latihan Perindustrian Ipoh , Perak dan telahpun menamatkan pelajarannya . Beliau kini bekerja sebagai pelukis pelan.  Abang saya yang ketiga bernama Muhammad Nazir Bin Mohamad . Beliau berumur 25 tahun dan juga telahpun berumah tangga . Beliau juga menyambung pelajarannya di peringkat sijil dalam jurusan  Mekanikal Industri di Institut Latihan Perindustrian Ipoh dan telahpun menamatkan pelajarannya dalam kursus tersebut . Beliau kini bekerja sebagai pengurus operasi.  Seterusnya adik saya yang bongsu bernama Afini Qayyum Bin Mohamad .Beliau berumur 12 tahun dan menuntut di Sekolah Kebangsaan Tasik Damai Ipoh , Perak . Beliau akan menduduki peperiksaan UPSR pada tahun ini . Bapa saya bernama Mohamad Bin Yaaccob . Beliau berumur 58 tahun . Beliau bekerja sebagai jurulukis  di Jabatan Mineral dan Geosains.  Kini beliau telahpun bersara setelah berkhidmat hampir 30 tahun . Ibu saya bernama Sahariah Binti Yahaya . Beliau berumur 48 tahun . Beliau bekerja sebagai kerani di syarikat Chemical Industri Malaysia Sdn . Bhd .    
             Sejak saya dilahirkan ibu dan bapa telah mendidik saya untuk menjadi lebih berdikari dan bertanggungjawab dalam menguruskan diri sendiri . Meskipun ibu dan bapa saya sibuk bekerja namun mereka tidak pernah mengabaikan hal – hal yang berkaitan dengan keluarga . Mereka sentiasa memastikan keperluan barangan untuk sekolah dan barangan harian sentiasa mencukupi . Mereka juga sentiasa memantau perkembangan pelajaran saya dan sentiasa memberi nasihat dalam membuat sesuatu keputusan yang terbaik . Prinsip saya dalam hidup ialah sentiasa bersikap sederhana dalam pelbagai perkara dan haruslah merendah diri serta menghormati mereka yang berada di sekeliling saya . Saya perlu mengambil kira pendapat dan tanggapan orang lain terhadap diri saya supaya ia dapat dijadikan panduan untuk memperbetulkan kekurangan diri . Saya haruslah memelihara adab dan tutur kata agar tidak menyinggung perasaan mana – mana pihak . Seterusnya perkara yang paling penting ialah sentiasa menghormati kedua ibu bapa dan orang yang lebih berumur daripada saya .  









Zaman Persekolahan

        Zaman persekolahan saya bermula di Tadika Islam Al – Ridzuaniah Tasik , Ipoh . Ketika itu saya mula belajar untuk mengenal huruf dan abjad serta menghafal surah – surah pendek  .Meskipun pada awalnya saya sukar untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru , namun saya juga mula belajar untuk bergaul dengan kawan – kawan .  Seterusnya , saya melanjutkan pelajaran di Sekolah Kebangsaan Jalan Tasik Ipoh di Tahun 1 . Setiap hari ibu akan menghantar dan mengambil saya pulang dari sekolah . Sewaktu di sekolah , zaman kanak – kanak adalah waktu yang paling menyeronokkan kerana kita akan kurang terbeban dengan tanggungjawab dan akan sentiasa dibimbing dalam pelbagai hal . Walaupun begitu , saya tetap mengambil berat soal pelajaran dan sentiasa memastikan agar mendapat keputusan yang baik dalam setiap peperiksaan . Saya meneruskan zaman persekolahan saya di sekolah tersebut sehingga di Tahun 6 . Ketika di Tahun 6 , saya telah menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah ( UPSR ) pada tahun 2002 . Peperiksaan tersebut merupakan cabaran yang terbesar yang saya harus lalui pada ketika itu dan ianya adalah pengalaman saya yang pertama dalam menghadapi peperiksaan yang sangat penting kerana ia akan menentukan arah tuju saya di masa akan datang . Namun , saya amat bersyukur kerana saya berjaya mendapat keputusan 4A dan 1B dalam peperiksaan tersebut . Pada awalnya saya bercadang untuk memasuki sekolah berasrama penuh bagi melanjutkan pelajaran di peringkat menengah namun saya memilih sekolah harian kerana masih belum bersedia untuk berjauhan dengan keluarga . Saya memulakan zaman persekolahan di peringkat menengah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tasek Ipoh di Tingkatan 1 . Pada tahun tersebut , Kementerian Pelajaran Malaysia  telah memperkenalkan sukatan pelajaran baru dimana subjek Sains dan Matematik akan diajar dalam Bahasa Inggeris dan kami merupakan pelajar tahun pertama yang dikuatkuasakan penggunaanya . Hal ini berikutan , Perdana Menteri Malaysia pada ketika itu iaitu Datuk Sri Dr . Mahathir Bin Mohamad telah mencadangkan penggunaan Bahasa Inggeris dalam subjek Sains dan Matematik . Meskipun sukar pada awalnya kerana Bahasa Inggeris bukanlah bahasa yang sering digunakan dalam pertuturan seharian , namun perubahan tersebut membawa banyak kebaikan .  
 Sewaktu di Tingkatan 3 , saya sekali lagi perlu menghadapi peperiksaan yang penting iaitu Penilaian Menengah Rendah ( PMR ) . Sebagai persiapan , saya menghadiri kelas tambahan dan kelas tuisyen serta sering melakukan perbincangan dalam kumpulan bersama rakan – rakan untuk mempertingkatkan lagi pemahaman saya mengenai sesuatu subjek yang dipelajari . Setelah keputusan peperiksaan dikeluarkan , saya berasa sangat gembira kerana memperolehi A untuk subjek Bahasa Melayu , Bahasa Inggeris , Sains , Geografi , Kemahiran Hidup  dan Pendidikan Islam manakala B untuk subjek Matematik .  Meskipun memperolehi keputusan yang agak baik , namun saya memilih untuk bersekolah di sekolah harian berbanding sekolah berasrama penuh kerana ianya lebih hampir dengan rumah saya dan ini akan memudahkan saya untuk berulang – alik ke sekolah . Sewaktu di Tingkatan 4 , kami mula dibahagikan kepada dua aliran iaitu Aliran Sains dan Aliran Sastera . Saya memilih untuk memasuki Aliran Sains kerana saya meminati subjek sains .   Ketika itu saya didedahkan dengan mata pelajaran sains seperti Fizik , Kimia dan Biologi . Setelah di Tingkatan 5 , saya sekali lagi harus menduduki peperiksaan awam iaitu Sijil Penilaian Malaysia ( SPM ) pada  tahun 2007 . Peperiksaan tersebut amat penting kerana ia akan menentukan hala tuju seseorang samada akan ke universiti atau memilih alam pekerjaan . Setelah memperoleh keputusan peperiksaan , saya telah mendapat sebanyak 6A , 2B dan 2C. Subjek yang memperoleh A ialah subjek Bahasa Malaysia , Bahasa Inggeris , Sejarah , English for Science and Technology ( EST ) , Pendidikan Islam dan Tasawwur Islam  manakala subjek yang memperolehi B dan C ialah subjek Fizik , Matematik Moden , Kimia dan Biologi . Kemudian , saya mencuba untuk memohon Institut Pengajian Tinggi Awam ( IPTA ) untuk meneruskan pelajaran , namun saya telah menerima tawaran untuk memasuki Tingkatan 6 di sekolah yang sama iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Tasek Ipoh . Meskipun agak kecewa kerana tidak mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di mana – mana IPTA dan apabila melihat sesetengah rakan – rakan yang lain berjaya menyambung pelajaran mereka di peringkat Diploma dan Asasi namun saya menganggap ianya adalah rezeki seseorang dan menerimanya dengan hati yang terbuka . Pada tahun 2009 , saya memulakan alam persekolahan di Tingkatan 6. Para pelajar dibahagikan kepada dua aliran iaitu Aliran Sains dan Aliran Sastera manakala Aliran Sains pula dibahagikan kepada dua lagi aliran iaitu Aliran Sains Hayat dan Aliran Sains Fizikal . Meskipun masih bergelar seorang pelajar sekolah , namun pada tahap ini , pihak sekolah telah mengadaptasikan sitstem pengajian tinggi dalam pembelajaran . Bahasa Inggeris dijadikan bahasa pengantar ketika dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala  sistem CGPA digunakan dalam keputusan peperiksaan . Sewaktu di Tingkatan 6 , saya perlu melalui dua peringkat iaitu Tingkatan 6 Atas dan Tingkatan 6 Rendah . Setelah menamatkan tempoh pengajian dua tahun , kini tibalah masa untuk menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia ( STPM ) . Namun , setelah keputusan peperiksaan diumumkan , saya tidak berjaya memperolehi keputusan yang cemerlang . Saya hanya memperolehi keputusan CGPA kurang daripada 2.00 sedangkan syarat kelayakan untuk memasuki mana – mana Institut Pengajian Tinggi Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta ialah keputusan CGPA 2.00 dan ke atas . Walaupun saya telah memohon pelbagai IPTA dan IPTS , namun saya tetap tidak menerima mana- mana tawaran untuk melanjutkan pelajaran . Meskipun agak kecewa , saya tetap memohon semula serta membuat rayuan di IPTA dan IPTS untuk kemasukan yang akan datang . Dalam tempoh tersebut , saya bercadang untuk bekerja secara sambilan , namun kedua ibu bapa saya tidak mengizinkan kerana mereka risau akan keselamatan diri saya .Oleh itu , saya mengambil keputusan untuk mengambil ujian memandu bagi kenderaan kereta dan motorsikal . Setiap hari Isnin hingga Jumaat saya akan menghadiri kelas memandu bersama pengajar sebelum menduduki ujian memandu  . Setelah lulus kedua – dua ujian memandu untuk kenderaan kereta dan motorsikal , saya layak untuk memiliki lesen memandu .  









Waktu Sekarang

        Akhirnya , saya telah menerima tawaran daripada Universiti Selangor ( UNISEL ) untuk melanjutukan pelajaran saya di sini  . Setelah berbincang bersama keluarga , saya mengambil keputusan untuk mengambil program Asasi yang telah disediakan di UNISEL sebelum melanjutkan pelajaran semula di peringkat Ijazah . Selain itu , setelah membuat perbandingan dengan beberapa IPTS yang lain dan  saya memilih untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Selangor ( UNISEL ) bagi program Asasi Sains .  Saya mula mendaftarkan diri pada 25 Mei 2011 di UNISEL . Setelah melalui dua hari untuk sesi orientasi , kini saya memulakan sesi pengajian untuk semester satu . Meskipun keadaan dan suasana yang agak berbeza daripada sesi persekolahan , tetapi saya cuba untuk menyesuaikan diri di tempat yang baru . Walaupun baru memulakan sesi pembelajaran, namun saya berharap agar saya mampu menamatkan pelajaran dengan keputusan yang baik dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah .  Saya juga berharap agar dapat berkenalan dengan lebih ramai kawan dan menimba ilmu sebanyak mana yang mungkin .   Saya berharap agar dapat  menyesuaikan diri di tempat yang baru dan menamatkan pelajaran dalam tempoh yang telah ditetapkan .










Ahli keluarga baru ( Anak saudara )